Thursday, December 29, 2011

Belajar? Kerja?? Kahwin???

Selagi boleh belajar , pergi la belajar . Jangan berangan fikir nak kerja cari duit

and kawin muda . Jangan menyesal kemudian hari , dengar la nasihat Profesor

Dr.Nurhannani Sorfina . Peace Yaww ! # perasan , HAHA !

K : haha! kawin muda elak maksiat la sis. aku lg suke kawan2 aku kawin cepat! merase gak la aku diorang belanje makan nasi minyak sebelum kawan2 kite terpisah lame terus lupe akan diri kite sebagai seorang sahabat! killing two birds with 1 stone = elak maksiat + eratkan hubungan persahatan/silaturrahim kawan n sedare-mare + kurangkan bebanan mak bapak nak tanggung hidup korang yang makin hari makin banyak menelan kos perbelanjaan hidup + bantu mak bapak ngan segale yang perlu baik ekonomi, fizikal n mental(utk keluarge yg sederhana atau kurang berkemampuan) + merasa nikmat hidup sebelum menghembuskan nafas terakhir sebab umur kite ni Allah je yang tau sampai bile + belajar utk hidup sendiri/berdiri diatas kaki sendiri, tidak mengharap/bergantung 100% kat parents.

Dr. Nurhannani Sorfina : habis kalau tak belajar , kau nak buat apa ? kerja ? kerja apa pun ? kerja kilang , isi minyak , jadi hamba abdi orang ? cukup ke nak sara keluarga ? cakap nak kawin senang la bro , nak makan nasi minyak laa , dekat kedai banyak laa .

...

Penulis teramat teruja apabila melihat status yang di-post-kan oleh seorang hamba Allah ni. Tersipu, tersenyum seorang diri dihadapan skrin. Mungkin ada pembaca yang setuju dengan kenyataan yang diluahkan oleh insan yang menggelarkan dirinya sebagai Doktor.

Pentingkah untuk kita belajar? Sudah tentu belajar merupakan sesuatu yang penting! jika tidak, masakan kerajaan mendirikan banyak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, instistusi pengajian tinggi, tidak termasuk sekolah dan instistusi pengajian tinggi swasta. Namun persoalan yang ingin penulis timbulkan disini iaitu benarkah bekerja selepas tamat sekolah, berkahwin muda hanya akan membuatkan diri menyesal kemudian hari seperti yang di timbulkan oleh insan yang bergelar Dr. Nurhannani Sorfina?

Disember 29 tahun 2011, penulis telah menghadiri satu temuduga di Bukit Raja. Gaji yang ditawarkan kepada penulis agak lumayan, sama lumayannya dengan gaji mereka yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda. Ketika temuduga tersebut berlangsung, sipenemuduga meluahkan bahawa sekiranya beliau ialah penulis, beliau hanya akan bekerja untuk sementara waktu, cukup untuk beberapa bulan lalu menyambung semula pelajaran keperingkat yang lebih tinggi. Bekerja bukan setakat untuk diri sendiri bahkan bekerja untuk membantu, membalas kebaikan ibu bapa kita. Belajar merupakan suatu ibadah, begitu juga dengan bekerja tambah sipenemuduga.

Tertarik dengan kenyataan balas yang dihamburkan oleh Dr Nurhannani Sorfina kepada K. Pada mulanya mungkin penulis akan bersetuju dengan Dr Nurhannani Sorfina namun melihat akan kenyataan balas beliau.., kedengaran seperti menghina pekerjaan-pekerjaan tersebut. Mungkin benar, tanpa pelajaran yang tinggi menggunung mustahil untuk kita menjawat jawatan Doktor, Juruteknik, Pensyarah dan sebagainya. Bagi mereka yang berkelulusan SPM atau lebih rendah, mereka hanya mampu untuk bekerja makan gaji atau lebih gemar dipanggil hamba abdi oleh segelintir masyarakat. Mari kita berfikir sejenak, jika kerja kilang, kerja isi minyak di stesen minyak dan kerani disebut sebagai hamba abdi kerana kerja makan gaji.., bukankah Doktor, Juruteknik, Akauntan, malah Senior Manager sekalipun merupakan suatu pekerjaan makan gaji atau layak jika kita gelarkan sebagai hamba abdi juga? Jadi dimanakah perbezaan antara pekerjaan tersebut? Empunya diri semestinya menjawab gaji dan kelayakan atau taraf pendidikan namun objektif untuk semua orang bekerja sama, untuk mencari rezeki yang halal dan menanggung perbelanjaan diri dan keluarga. Bukankah persamaan yang wujud disitu lebih gah dari perbezaannya?

Penulis terpanggil untuk menegur insan tersebut dan berlakulah suatu dialog. Penulis mengatakan pelajaran yang tinggi menggunung jika hanya untuk riak, mahu diri dikagumi oleh orang lain, takkan bawa diri ke syurga. kenyataan balas yang diterima,
"salah ke aku cakap ? selagi boleh belajar , pergi la belajar .
mak dan bapa pergi hantar belajar tu belajar jelaa , bila dah pandai nanti , hidup mewah boleh bawa mak and bapa kau pergi Haji banyak3 kali

okey , mungkin fa

mily susah , takkan kau nk terus hidup susah ? mesti lanak lebih , hidup mewah . memang la belajar tinggi tak masuk syurga , tapi kan bagus kalau kita ni berilmu tinggi , semua orang kagum dengan kita ."
Ayat terakhir Dr seperti menyokong kata-kata penulis namun tetap dengan pendirian beliau, bekerja selepas belajar dan kahwin awal suatu yang buruk. Penulis kagum dengan pendirian teguh beliau. Brava!

Baiklah, jika benar kata Dr bahawa belajar tinggi melangit dapat menjamin masa depan yang mewah. Apakah jaminan kemewahan kepada kita? Bahagiakah kita? Selamatkah hidup kita? Adakah kemewahan tersebut boleh kita bawa ke alam kubur? Teringat penulis akan sebuah kata pujangga, "semakin mewah hidup seseorang, semakin menggunung kerisauan dilubuk hati." Fahami akan maksud tersebut, diri semakin risau apabila semakin kaya dengan harta dunia kerana risau jika harta itu habis, dicuri atau dirompak atau habis kerana berbuat amal jariah.

Walaubagaimanapun, wujud kebenaran disebalik kata-kata berbaur hinaan oleh Dr. Belajar selagi boleh belajar, jangan terhadkan pemikiran seperti setakat di sekolah mahupun di institusi pendidikan malah belajarlah walau dimanapun. Namun siapalah diri kita untuk menegah orang lain dari melakukan sesuatu yang juga tidak dinafikan manfaatnya seperti bekerja selepas belajar atau berkahwin di usia yang muda. Diingatkan bahawa didalam planet bergelar bumi ini dihuni lebih dari berpuluh trilion manusia dan sudah tentu mempunyai seribu satu pendapat yang berbeza. Justeru itu, kita harus sedar akan hakikat ini dan menghormati setiap pandangan yang diluahkan oleh orang lain. Tiada pandangan yang salah, kecuali manusia yang melihatnya dengan salah.

Tuesday, December 20, 2011

Peringatan, muslihat atau..?

1 - "Ruginya orang handsome tak solat, Nabi Yusof yang handsome pun solat.
Ruginya orang cantik tak solat, Saidatina Aisyah yang cantik pun solat.
Ruginyaorang kaya tak solat, Nabi Sulaiman yang kaya pun solat.
Ruginya orang miskin tak solat, Nabi Muhammad yang miskin pun solat.
Ruginya budak-budak tak solat, Hasan dan Husin budak pun solat. ... insaflah,insaflah,insaflah. barang
siapa yang "like"pesanan ini maka dibalaslah kamu dengan pahala. Dan barang siapa yang "copy" pesanan ini maka dibalaslah kamu dengan pahala selagi
masih ada orang yang membacanya..

2 - Dikatakan :-
۞ Surah Al-Fatihah dapat memadam kemurkaan Allah SWT.
۞ Surah Yasin dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Kiamat.
۞ Surah Ad-Dukhan dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.
... ۞ Surah Al-Waqi’ah dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.
۞ Surah Al-Mulk dapat meringankan azab di dalam kubur.
۞ Surah Al-Kauthar dapat merelaikan segala perbalahan.
۞ Surah Al-Kafirun dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.
۞ Surah Al-Ikhlas dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.
۞ Surah Al-Falq dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.
۞ Surah An-Nas dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.
Seterusnya, bagi menangani Syaitan Durjana.

Dikatakan juga:-
۞ Ketika anda membawa AL-QURAN, respon syaitan ialah biasa saja, tengok je...
۞ Ketika anda membukanya, syaitan mula curiga.
۞ Ketika anda membacanya, syaitan mula gelisah.
۞ Ketika anda memahaminya, dia mula kejang.
۞ Ketika anda mengamalkan AL-QURAN, dalam kehidupan setiap hari, dia stroke.
~Teruskan membaca AL-QURAN dan mengamalkannya agar syaitan terus stroke.

۞ Ketika anda ingin menyebarkan pesanan ini, syaitan pun mencegahnya.
۞ Syaitan kata, 'JANGAN SEBARKANNYA, KERANA IA TIDAK PENTING LANGSUNG!'

p/s: menurut hadis Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah r.a:

ان خَيِرَ الْعَمَلِ أدْوَمُهُ وَاِنْ قَل
"Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan sekalipun sedikit".
(HR Baihaqi)

3 - Peringatan semula! tolong la baca!! Semalam, siaran RTM di Negeri Pahang tergempar ramai orang terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat di susuli gempa bumi selama 3 minit, mungkin ini tanda2nya > kpd semua yg bergelar muslim,hari nie pakar meteorologi bhgn bunyi dr Rusia m'dapati sesuatu bunyi ganjil spt ngauman raksasa dr bwh mantel bumi.menurut para ulama kemungkinan besar itu ialah suara Dajjal y b'usaha utk naik ke muka bumi.oleh itu,kte disuruh sentiasa x berhenti azan dan solat,sebarkn kpd umat ISLAM yg lain. Amanah! Wallahualam. KITA YANG MENENTUKAN DIRI KITA Jgn skip utk bace ni. Sebarkan kalau sayang pada islam.> BAHAYANYA KARTUN POKEMON dan BINATANG2 yang ade dalamnya. POKEMON bermaksud saya yahudi,> PIKACHU bermaksud jadilah seorang yahudi. CHARMANDER bermaksud ALLAH itu lemah..nauzubillah) .> jadi. tolonglah SEBARKAN kepada rakan2 chat korang semua.> tolong forwardkan mesej ni kepada sumer org Islam! (The 99 forward)"

Mungkin para pembaca berfikiran," penulis menyiarkan sesuatu seperti ini dengan tujuan untuk memberi peringatan bersama untuk umat seagama dengannya.." namun hakikatnya TIDAK! mesej-mesej seperti ini acapkali disebarkan melalui laman sosial Facebook oleh kebanyakan remaja malah segelintir golongan dewasa. Mengapa tidak? Bukankah mesej-mesej ini bagus untuk kita saling ingat mengingati?

Pesanan ini harus disampaikan demi kemaslahatan bersama, wajib bagi seorang muslim untuk untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu serta maklumat yang diperolehi, menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk saling mengingati dan berbagai alasan lain yang diungkapkan pabila tujuan individu menyebarluaskan mesej-mesej ini dipersoalkan. Spekulasi penulis, persoalan yang berlegar diminda pembaca..,
mengapakah tindakan menyebarkan mesej atau pesanan yang murni ini dipersoalkan?
Namun bagi penulis, persoalan yang perlu difikirkan iaitu siapakah yang yang menjadi pemikir, pengarang dan penulis mesej-mesej berkenaan dan apakah tujuan asal yang berselindung dibawah setiap kata-kata dalam tiap ayat yang sepertinya mendesak para pembaca untuk memparcayainya? Lebih menghairankan kerana adakalanya pesanan atau peringatan yang disampaikan memomokkan diri kita dengan perkara yang tidak masuk dek akal.

Jika setiap baris patah perkataan yang terkandung dalam pesanan ini diperhalusi secara terperinci, maka terserlahlah segala kelompangan, menjadi jelas semua temberang yang diperdagang dan segala tipu muslihat yang digunakan untuk memperdayakan umat manusia yang terkenal dengan sifatnya yang lemah pada mata yang celik. Niat sipenyebar itu baik, untuk saling mengingatkan saudara seagamanya akan hal dikemudian hari namun kadangkala tindakan yang baik lagi murni akan membawa kita kemulut musuh, untuk dikunyah dan ditelan rakus. Mengapa? Hal ini demikian kerana wujud walau sekelumit, golongan manusia didunia ini yang sedar akan hakikat bahawa musuh menggunakan agama Islam untuk menghancurkan umat Islam sendiri, cuba untuk menegur golongan yang terpadaya untuk menyebarluaskan artikel atau mesej ringkas namun dalam pendekatan yang tidak dapat diterima oleh sipenyebar sama sekali. Dalam hal ini, tiada pihak yang salah kerana pendirian kedua belah pihak walaupun berlainan tetapi berlandaskan satu perkara, iaitu untuk menolong rakan-rakan seagamanya dengannya. Perbalahan terhasil kerana pendirian yang murni lagi teguh yang ditegakkan oleh kedua pihak. Lantas hal ini menyebabkan berlakunya perbalahan, jelaslah bahawa iktikad sipencipta mesej atau penulis(aku) lebih gemar mengelarkannya sebagai musuh berkenaan tercapai.

Nah! Itulah tujuan yang berselindung disebalik kata-kata yang kadangkala kedengaran seperti menakut-nakutkan diri kita sebagai pembaca. Seperti yang penulis coretkan diatas, pendirian kedua pihak cukup kukuh sehinggakan boleh menyebabkan perang saudara dan sudah semestinya post penulis mengenai isu ini dianggap sebagai tidak relevan dan menentang tindakan yang pada mereka sebagai pemangkin kepada remaja untuk berdakwah serta berjihad dijalan Allah. Bukan, bukan sama sekali. Setiap butir perkataan penulis ini berdasarkan pemahaman dan penelitian penulis apabila terbaca "
siapa yang "like"pesanan ini maka dibalaslah kamu dengan pahala. Dan barang siapa yang "copy" pesanan ini maka dibalaslah kamu dengan pahala selagi
masih ada orang yang membacanya.." seperti yang terkandung dalam mesej pertama post ini. Tidak, bukan setakat itu malah beratus bahkan beribu mesej yang kononnya mengenai kepentingan agama suci Islam yang mengandungi ayat yang lebih kurang sama bunyi dan maknanya. Masih tidak dapat melihat dengan jelas akan hal tersebut?

Bukan berniat untuk menunjuk siapa salah siapa benar. Apa yang ingin diperjelaskan disini iaitu perlunya umat Islam untuk melihat dunia ini dengan mata dan minda yang celik. Tidak terikat hanya dengan pemikiran yang menganggap,"benar atau tidak, tidak menjadi kesalahan jika tujuan kita menyampaikan untuk kebaikan umat Islam sejagat." Jika diimbau kembali sejarah lampau, sukar untuk kita melepaskan diri setelah masuk kedalam mulut musuh malah mengambil masa beratus tahun untuk kita kembali mengecapi kebebasan. Apa yang kita lihat, sebar dan baca tanpa sebarang usul periksa hari ini merupakan propaganda musuh agama untuk menyelewengkan akal pemikiran kita yang kadangkala taksub dengan perkara berkaitan keagamaan. Jika mengikut akal fikiran yang logik berteraskan sedikit pengetahuan agama, siapalah diri manusia untuk menentukan mengenai ganjaran pahala dan nikmat diakhirat walaupun secara logik akal kebanyakan pemikiran manusia menganggap setiap perkara baik mahupun dianggap baik mendapat ganjaran pahala namun apa yang tidak jelas disini iaitu setiap kebaikan yang mendapat ganjaran pahala diukur mengikut niat, keikhlasan dan kebaikan dari tindakan tersebut, tidak sekadar apa yang difikirkan oleh kebanyakan hari ini.

Ingin penulis terangkan lebih panjang lebar dengan lebih perincian akan isu ini namun penulis merasakan sudah terlalu panjang coretan pada kali ini. Fikir secara mendalam sebelum kita melakukan sebarang tindakan.

Monday, December 19, 2011

First post - Prologue

Assalamualaikum/Hi~

Al-kisah bermulanya blog ini dengan mukadimah sebagai pembuka bicara hatta menjadi post yang pertama dalam blog ini.

Fie. Seorang insan bergelar lelaki sering dipanggil dengan nama gelaran Fie oleh teman-teman rapat. Fie, seorang lelaki yang masih lagi berada dalam lingkungan usia remaja, meniti sisa saki baki hidup diakhir usia remaja. Fie, seorang lelaki yang gemar bersuara akan isi fikirannya walaupun kadangkala pahit untuk ditelan. Fie, itulah nama penulis blog ini yang diberikan oleh seorang guru muda.

Seorang dua manusia menulis blog, semua pun nak tulis blog. Begitu juga dengan aku, tidak terkecuali. Cuma yang berbeza iaitu blog ini merupakan blog aku yang ketiga. Blog pertama lahir pada tahun 2009, kerana saranan seorang guru agar murid-muridnya menghasilkan penulisan yang kreatif dan menarik dengan menggunakan bahasa penjajah yang datang menjajah di Tanah Melayu beratus tahun lamanya. Namun telah ku tinggalkan kerana pada ku hari ini, apa yang telah dicurahkan oleh otak yang tidak matang ketika itu terasa amat memalukan untuk diri ini baca pada saat dan ketika ini. Jelas menunjukkan ketidakmatangan seorang remaja lelaki yang hanya menulis mengikut fahaman dan pedoman yang goyah lantaran faktor usia dan pengalaman hidup serta ilmu yang nipis. Blog yang kedua? Haha.. Blog kedua dikongsi bersama seorang mahasiswi yang menuntut disalah sebuah universiti di negeri Perak. Blog yang ditulis bersama mengenai fesyen barat, Lolita, untuk golongan bergelar wanita dengan sedikit sentuhan Islamik, menjadikan pakaian yang dianggap oleh segelintir masyarakat Islam Malaysia yang berfikiran sempit sebagai biadap dan seksi tampak lebih sopan dan menutup aurat.

Tujuan aku untuk menulis blog kali ini bukan kerana untuk bersuka ria. Bukan untuk mencurahkan segala perasaan dan isi hati dengan kata-kata kesat untuk mengekspresikan emosi. Juga bukan untuk bergosip mahupun menyebarkan fitnah. Aku menulis untuk berdiskusi, berkongsi dengan para pembaca blog ini mengenai isu semasa yang berlaku disekeliling kita.., tidak! Lebih tepat jika aku katakan perkara yang berlaku disekeliling kita, tidak terhad, tidak terikat dengan isu semasa semata-mata. Dunia perlu melihat apa yang perlu dilihat, bukan melihat hanya perkara yang mahu dilihat. sebarang komentar dari pembaca amat dihargai kerana ini menunjukkan bahawa aku bukan sekadar seronok bercakap sendiri bahkan wujud komunikasi dua hala walaupun bukan secara langsung. Pembaca tidak semestinya bersependapat dengan penulis, menjadikan ruangan ini lebih hidup dan nyata.

Semakin banyak perkataan yang aku coretkan, semakin menebal perasaan malas dalam diri pembaca untuk meneruskan pembacaannya. Cukup setakat disini penulisan aku pada kali ini. Jika sebentar tadi aku mulakan dengan ungkapan salam, kini aku sudahi juga dengan assalamualaikum dan selamat sejahtera.